Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Britain bantah kos melambung tinggi

    LONDON, 19 JUN – Beribu-ribu orang berarak melalui pusat London kelmarin sebagai tanda protes terhadap kos sara hidup yang melambung tinggi di Britain.

    Orang ramai membanjiri ibu negara Britain semasa perhimpunan itu bagi menuntut kerajaan bertindak untuk membantu orang ramai yang berhadapan dengan bil dan perbelanjaan lain yang meningkat lebih cepat daripada gaji mereka.

    Perdana Menteri Boris Johnson telah dikritik kerana lambat bertindak balas terhadap krisis kos sara hidup. Selain itu, inflasi di Britain dan di seluruh Eropah juga telah melonjak disebabkan perang Rusia di Ukraine menyekat bekalan tenaga dan makanan ruji seperti gandum.

    Sementara itu, peningkatan harga barang sudah bermula sebelum perang lagi ketika pemulihan ekonomi global daripada wabak COVID mengakibatkan permintaan pengguna yang banyak.

    Penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan mesej seperti ‘Cut war not welfare’. Mereka mencemuh apabila melewati 10 Downing Street, kediaman perdana menteri, menurut video yang disiarkan di media sosial.

    Ben Robinson, yang bekerja bagi badan amal perumahan di kejiranan Brixton, turut berkata, kerajaan tidak menyedari betapa buruknya kesan inflasi kepada golongan miskin. – AP

    Orang ramai memegang plakad semasa demonstrasi nasional TUC di London, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda