LONDON, 16 JAN – Dianggarkan 3.5 juta rakyat Britain yang tinggal di luar negara mulai hari ini layak untuk mengundi dalam pilihan raya umum UK, dalam salah satu peningkatan terbesar kelompok pengundi negara itu dalam satu abad.
Pertambahan dalam pengundi berlaku selepas perubahan dalam undang-undang, yang diluluskan oleh parlimen pada 2022, yang menghapuskan sekatan terdahulu terhadap warga UK yang ingin mengundi jika mereka telah tinggal di luar negara selama lebih 15 tahun.
Dilaksanakan menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada akhir tahun ini, ia merupakan perubahan paling ketara dalam senarai daftar pemilih sejak undang-undang pada tahun 1928 memberikan hak mengundi yang sama kepada wanita, dan perubahan pada tahun 1969 menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun.
Rakyat Britain di seluruh dunia kini boleh mendaftar untuk mengundi secara dalam talian, tanpa mengira berapa lama mereka tinggal di luar negara.
Di bawah undang-undang pilihan raya UK, setelah mendaftar, mereka juga dibenarkan untuk menderma kepada parti politik dan pihak berkempen.
Kira-kira 233,000 pengundi luar negara telah mendaftar untuk pilihan raya terakhir pada Disember 2019, peningkatan ketara yang dikaitkan dengan Brexit berbanding jumlah yang dilihat dalam pilihan raya sebelumnya.
Kerajaan menganggarkan perubahan pada hari ini boleh memberikan hak mengundi kepada kira-kira 3.5 juta orang – hampir tiga kali ganda daripada 1.3 juta undi yang merupakan margin kemenangan dalam referendum mengenai keahlian Kesatuan Eropah pada tahun 2016. – AFP
