Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Rakyat China beli ubat COVID di pasaran gelap

    BEIJING, 5 JAN – Keluarga yang terdesak untuk mencari rawatan COVID yang kritikal memilih untuk mendapatkannya di pasaran dalam talian, yang dibelenggu penipuan, selepas jumlah kes jangkitan melonjak dan ketiadaan ubat di farmasi.

    Beijing pada bulan lalu, secara tiba-tiba menamatkan dasar pembendungan sifar COVID dan membatalkan sekatan meluas yang mencetuskan protes di seluruh negara dan menjejaskan ekonomi, sekali gus mengakibatkan peningkatan jangkitan.

    Gelombang COVID ketika ini menyaksikan kedai ubat tidak mempunyai bekalan, ketika orang ramai menjalani rawatan selesema dan demam.

    Ramai yang terpaksa beralih kepada penjual dalam talian yang tidak dapat dipastikan, dengan sedikit jaminan untuk mendapatkan produk seperti apa yang dibayar.

    Rakyat China telah lama dibelenggu skandal membabitkan ubat tercemar, ujian klinikal yang palsu dan peraturan yang longgar dalam industri perubatan, mendorong ramai berasa ragu-ragu terhadap produk farmaseutikal keluaran tempatan.

    Disebabkan terdesak mendapatkan rawatan bagi ahli keluarganya yang sakit, Qiu, 22, memberitahu AFP, dia membelanjakan ribuan wangnya untuk mendapatkan ubat COVID yang tidak pernah sampai, selepas menghubungi seseorang dalam talian yang mendakwa mewakili Ghitai Pharmaceutical yang berpangkalan di Hong Kong.

    Individu itu mendakwa mereka mempunyai akses kepada stok Paxlovid dan boleh menghantarnya dari bandar separa autonomi itu ke tanah besar China.

    Selepas dibawa ke laman web ‘rasmi’, Qiu kemudian mengeluarkan 12,000 yuan untuk enam kotak Paxlovid, berdasarkan rekod pembayaran yang dilihat AFP.

    Pil berkenaan, bagaimanapun tidak sampai dan wakil jualan itu memutuskan hubungan dengannya, meninggalkannya dalam keadaan ‘sakit, tidak berdaya dan sangat marah.’ – AFP

    Gambar fail bertarikh 15 Disember 2022 menunjukkan rak ubat selesema yang kosong di sebuah farmasi di tengah pandemik COVID di Beijing. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...