Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus disambut dengan penuh semangat dan rasa syukur oleh rakyat dari segenap lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Kampung Jerudong ‘B’, Awang Kamis bin Panjang, yang juga mewakili Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong ‘B’, peluang hadir bersama rakyat dalam Majlis Ramah Mesra sempena sambutan berkenaan merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan membangkitkan semangat kecintaan terhadap pemimpin negara.
“Saya berasa sangat teruja, bangga dan bersyukur kerana diberi peluang untuk hadir ke majlis tersebut. Ia bukan sahaja memperingati ulang tahun keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, malah menjadi kesempatan bagi rakyat untuk menzahirkan rasa syukur dan memeriahkan sambutan menerusi pelbagai aktiviti dan acara yang telah disusun,” ujar beliau.
Mengulas mengenai suasana sambutan tahun ini, Awang Kamis menyatakan bahawa semangat rakyat tidak kurang meriahnya berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan pelbagai acara menarik seperti Majlis Junjung Ziarah, pertunjukan bunga api, gerai perayaan serta acara padang yang sentiasa dinantikan setiap kali tibanya Hari Keputeraan.
Beliau turut berkongsi bahawa beliau menghadiri majlis bercemar duli tersebut setiap tahun, dan antara kenangan paling manis baginya ialah berpeluang bersua muka serta beramah mesra dengan Kerabat Diraja, yang dianggap pengalaman penuh penghormatan.

Bagi sambutan tahun ini, beliau menyatakan bahawa antara acara yang paling menarik perhatian ialah persembahan pentas mukun, yang menggambarkan keunikan budaya tempatan serta penglibatan masyarakat dalam memeriahkan perayaan.
Awang Kamis turut menzahirkan doa dan harapan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar Baginda Sultan sentiasa dikurniakan kesihatan yang berterusan serta keberkatan dalam memimpin negara, selain berharap agar sambutan seperti ini akan terus diadakan pada masa-masa akan datang.
“Semoga Negara Brunei Darussalam kekal aman, maju dan dijauhi daripada bala serta bencana. Rakyatnya diharap terus menjadi masyarakat yang berakhlak mulia, prihatin, dan mencintai negara,” tambahnya lagi.
Beliau juga menekankan bahawa nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dapat dilihat dengan jelas menerusi aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh negara, persembahan budaya di pentas perayaan, serta program ilmu yang memperkukuhkan kefahaman terhadap identiti kebangsaan.
“Rakyat wajar terus menunjukkan kasih dan taat setia kepada Baginda Sultan dengan mematuhi undang-undang negara, menyokong aspirasi kerajaan, menjadi rakyat yang bertanggungjawab serta berpegang teguh kepada konsep MIB,” tegas beliau.

Dalam kesempatan itu, Awang Kamis merafakkan ucapan Selamat Hari Keputeraan ke-79 kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mendoakan agar Baginda dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa sihat walafiat serta terus memimpin negara menuju kejayaan dan kecemerlangan agama, bangsa dan negara.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk menghayati makna sebenar sambutan ini dengan semangat perpaduan dan rasa cinta kepada tanah air.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Melihat kehadiran begitu ramai rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat amat menggembirakan saya, kerana jelas menunjukkan rasa kasih dan kesetiaan mereka terhadap pemimpin negara masih kukuh,” ujar beliau mengakhiri temu bual.
