Tuesday, January 7, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Johor manfaat cuti hujung minggu baharu luang masa bersama keluarga

    JOHOR BAHRU, 5 JAN – Rakyat Johor memanfaatkan cuti hujung minggu baharu pada Sabtu dan Ahad dengan meluangkan masa beriadah dan mengunjungi tempat menarik bersama keluarga.

    Antara lokasi pilihan ibu bapa bersama anak-anak mereka ialah Zoo Johor hingga ada yang sanggup menunggu sejam lebih awal untuk memasuki zoo berkenaan sebelum ia dibuka pada 9 pagi.

    Nurul Nadira Ismail, 29, berkata kunjungannya bersama suami Muhd Irfan Zekri, 28, ke zoo itu telah dirancang sejak dua minggu lepas.

    Guru di Sekolah Agama Desa Pulada di sini itu berkata dia dan suami yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang sebelum ini perlu merancang lebih awal untuk pergi ke mana-mana destinasi berikutan perbezaan cuti hujung minggu.

    “Cuti saya dan suami tidak sama, saya pada Jumaat dan Sabtu dan suami pula Sabtu dan Ahad. Kami kena rancang lebih awal kalau hendak ke mana-mana, biasanya seorang daripada kami terpaksa ambil cuti.

    Pengunjung bersama anaknya melihat spesies burung kakak tua, pada hujung minggu pertama hari Ahad di Negeri Johor, ketika tinjauan di Zoo Johor. – Bernama

    “Sekarang cuti hujung minggu sudah sama lebih senang untuk kami pergi ke mana-mana tanpa ada kekangan,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi itu ketika ditemui di Zoo Johor di sini hari ini.

    Penyelia sebuah syarikat minyak dan gas Daniel Nanang, 36, pula berkata kebanyakan percutian yang dirancang bersama keluarga sebelum ini terpaksa ditangguhkan berikutan perbezaan cuti hujung minggu sekolah.

    Justeru, bapa kepada dua anak yang berasal dari Miri, Sarawak dan menetap di Johor sejak 2005 itu meluahkan kelegaan dan memuji langkah positif yang diambil kerajaan negeri bagi memastikan rakyat dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.

    “Macam saya bekerja di syarikat swasta cuti hujung minggu adalah pada Sabtu dan Ahad tetapi berbeza pula dengan cuti sekolah anak-anak saya.

    “Jadi kita sebagai ibu bapa rasa gembira apabila cuti hujung minggu sudah diselaraskan, ia memberi galakan kepada keluarga untuk luang masa dan eratkan lagi hubungan sesama keluarga,” katanya.

    Pada 7 Oktober tahun lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 dan perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

    Negeri lain yang kekal melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Terengganu, Kelantan dan Kedah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda