ALOR SETAR, 22 Okt – Rakyat jelata di negeri ini menzahirkan perasaan gembira setelah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selamat ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 hari ini.
Orang ramai memanfaatkan cuti peristiwa sempena hari pertabalan dengan tidak melepaskan peluang untuk menunggu di hadapan Istana Anak Bukit seawal 7.00 pagi bagi menyaksikan keberangkatan masuk Sultan dan Sultanah Kedah menaiki kenderaan rasmi pada kira-kira 10.30 pagi ini.
Abu Hassan Ibrahim, 54, dan isterinya Bashirah Abu Bakar, 53, yang datang dari Kota Kuala Muda, sanggup datang seawal 8.00 pagi di hadapan Istana Anak Bukit bagi menunggu kehadiran baginda berdua bersama-sama lebih 100 rakyat yang lain.
“Umur mak cik dah 53 tahun, mak cik belum pernah tengok lagi istiadat macam ini, inilah kali pertama, mungkin tak sempatlah nak tengok yang akan datang,” kata Bashirah.
“Seronok sangat, teruja boleh tengok Tuanku, walaupun tak boleh masuk dalam tapi kami gembira, kita minta umur Sultan bagi panjang macam Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” kata Abu Hassan pula.
Sultan Sallehuddin hari ini selamat ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 hari ini dan kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. – Bernama