Rakyat kita di luar negara dipantau

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Dalam mengikuti perkembangan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri sentiasa memantau keadaan rakyat dan penduduk negara yang berada di luar negara.

“Di sinilah tugas dan tanggungjawab setiap perwakilan Negara Brunei Darussalam dengan memberi tumpuan terhadap keperluan dan kesulitan yang mereka hadapi.”

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof menekankan perkara berkenaan semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau, kementeriannya sedang giat memantau penularan wabak COVID-19 yang melanda di kesemua negara termasuk memantau bilangan kes-kes di beberapa buah negara termasuk tempat-tempat yang terdapat perwakilan-perwakilan Negara Brunei Darussalam serta negara-negara dan kawasan-kawasan yang terdapat rakyat dan penduduk negara ini.

“Peranan kementerian ini serta pejabat-pejabat perwakilannya adalah bagi memastikan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di luar negeri sentiasa terjamin,” jelasnya.

Berdasarkan maklumat daripada pejabat-pejabat perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negeri, sejak 19 Mac hingga 22 Mac lalu, Yang Berhormat Dato berkata, ramai rakyat dan penduduk khususnya penuntut telah mulai kembali ke Negara Brunei Darussalam.

Beliau menjelaskan bahawa sekiranya negara tersebut tidak mempunyai sebarang pejabat perwakilan atau kedutaan dan mungkin akan menghadapi sebarang kesusahan, mereka bolehlah mendapat bantuan melalui pejabat-pejabat perwakilan Negara Brunei Darussalam yang berhampiran di mana mereka berada.

Beliau juga menyarankan mereka yang berkenaan supaya membuat pendaftaran dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri melalui ‘e-Register’ ataupun melalui kedutaan-kedutaan atau pejabat-pejabat perwakilan yang ada di luar negara dengan melayari laman sesawang www.mfa.gov.bn.

Sekiranya ada keperluan atau kecemasan bolehlah menghubungi talian hotline kementerian 8716001 ataupun menerusi hotline di perwakilan-perwakilan yang berada di luar negara.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Ne-geri Kedua semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.