Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Lithuania undi parlimen baharu

    VILNIUS, 13 OKT – Rakyat Lithuania mengundi hari ini dalam pilihan raya yang dijangka akan menukar kerajaan tetapi mengekalkan banyak dasar yang sama, termasuk sokongan kuat ahli NATO dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Ukraine serta usaha untuk memperkukuhkan dasar pertahanan.

    Pilihan raya ini berkemungkinan menyaksikan parti tengah-kiri menggantikan parti konservatif yang memerintah dan mungkin menyaksikan parti populis baharu di mana pemimpinnya sedang dibicarakan atas dakwaan memberikan komen anti-Yahudi menyertai parlimen buat kali pertama.

    Negara Baltik yang mempunyai 2.8 juta orang penduduk itu sedang memerhati jirannya, Rusia, kerana bimbang mereka mungkin menjadi sasaran seterusnya sekiranya Moscow berjaya dalam perangnya terhadap Ukraine.

    Parti-parti utama di Lithuania semuanya bersetuju tentang keperluan untuk memberikan sokongan padu terhadap Ukraine serta mengekalkan atau meningkatkan perbelanjaan pertahanan, yang pada masa kini berjumlah tiga peratus daripada KDNK.

    Tinjauan pendapat menunjukkan Parti Demokratik Sosial, yang kali terakhir menerajui tampuk pentadbiran dari 2012 hingga 2016, mendahului 14 parti dan gabungan lain, dengan tinjauan terkini meramalkan mereka akan memperoleh kira-kira 20 peratus undi.

    Penduduk tempatan mengundi di pusat mengundi semasa pusingan pertama pengundian dalam pilihan raya parlimen, di Vilnius, Lithuania pada 13 Oktober. – AP

    Parti pemerintah tengah-kanan, Kesatuan Tanah Air-Demokrat Kristian Lithuania, dijangka menerima kira-kira 15 peratus undi.

    Enam atau tujuh parti berkemungkinan melepasi had maksimum untuk kerusi di parlimen dalam pilihan raya ini.

    Walaupun timbulnya potensi rombakan kerajaan, namun tidak dijangkakan berlaku perubahan besar dalam dasar luar.

    “Tiada alternatif sebenar kepada apa yang Lithuania pilih 20 tahun lalu,” kata penganalisis politik, Linas Kontrimas kepada AFP, merujuk kepada negara yang menyertai Kesatuan Eropah dan NATO.

    Presiden Gitanas Nauseda, yang memenangi penggal kedua pada Mei dengan sokongan daripada Demokrat Sosial, dipercayai menyokong perubahan dalam kerajaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda