PETALING JAYA, 27 April – Rakyat Malaysia dianggarkan membuang sehingga 8,000 tan makanan sehari, iaitu jumlah yang mampu menampung keperluan untuk tujuh juta orang.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Nor Siti Aishah Said berkata keadaan itu menjadikan makanan sebagai komposisi tertinggi iaitu 45 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah di negara ini.
“Pembuangan makanan itu merangkumi sepanjang proses persiapan, pengeluaran dan pemprosesan sesuatu makanan serta sesi makan,” katanya pada Seminar ‘Feed People, Not Landfills’ di sini hari ini.
Katanya, keadaan ini boleh dielakkan sekiranya rakyat Malaysia lebih perihatin dalam soal pengambilan makanan dengan hanya memakan makanan yang diperlukan sahaja. – Bernama