Friday, November 22, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang

    KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Kerajaan Malaysia memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka, berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.

    “Sama ada mereka (pelajar) bantuan kerajaan atau pelajar swasta, kita akan bantu, dan Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat, kalau perlu menyewa pesawat untuk bawa mereka pulang.

    “Ketika ini keselamatan anak-anak Malaysia jadi keutamaan kita. Beberapa hari pertama itu nampak keadaan mungkin terkawal, tetapi sekarang ini dari maklumat kedutaan rasanya lebih sesuai kalau mereka dibawa pulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sementara itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media di Putrajaya berkata kerajaan akan membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh selepas pelan pemindahan segera itu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri.

    Beliau berkata rakyat Malaysia di Bangladesh termasuk 124 pelajar akan dibawa pulang dengan penerbangan khas AirAsia. – Bernama

    Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada perasmian Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada 17 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda