Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Malaysia didakwa di Singapura berkaitan sindiket penipuan Kemboja

    KUALA LUMPUR, 19 NOV – Seorang lelaki warga Malaysia yang didakwa membantu mengendalikan sindiket penipuan yang berpusat di Kemboja dan menyasarkan mangsa di Singapura telah didakwa di mahkamah republik itu, kelmarin

    Bernard Goh Yie Shen, 24, adalah antara 34 suspek yang terdiri daripada 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia serta telah dinamakan oleh polis Singapura bulan lepas sebagai anggota kumpulan jenayah terancang yang beroperasi dari sebuah kawasan operasi sindiket penipuan di Phnom Penh, Kemboja.

    Menurut laporan media tempatan, Goh, yang diserahkan kepada polis Singapura oleh rakan sejawat mereka di Malaysia sehari sebelumnya, didakwa menyelia operasi sebuah pusat panggilan yang menyasarkan dan memperdaya mangsa di Singapura.

    Beliau berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.

    Goh sebelum ini ditahan di Phnom Penh oleh polis Kemboja sebelum dihantar pulang ke Malaysia, lapor The Straits Times (ST).

    Pada Isnin, dua suspek warga Singapura turut didakwa di mahkamah dan baki 31 suspek lain masih bebas, menurut laporan ST.

    Sindiket itu dipercayai bertanggungjawab terhadap kira-kira 438 kes dan melibatkan kerugian sekurang-kurangnya S$41 juta, menurut polis pada 29 Oktober. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda