Saturday, July 12, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Malaysia ditahan di Thailand

    BANGKOK, 9 JULAI – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang hari ini kerana disyaki terlibat dengan rangkaian perjudian dalam talian dan aktiviti pengubahan wang haram.

    Ketua Pemeriksaan Imigresen Don Mueang, Kolonel Polis Adisak Panya berkata pihak berkuasa menerima maklumat risikan mengenai ketibaan seorang lelaki yang dikehendaki berdasarkan waran tangkap berkaitan kes membabitkan laman sesawang perjudian terkenal.

    Menurut beliau, sepasukan pegawai penyiasat dihantar untuk menunggu di pintu keluar pesawat bagi menahan suspek yang memasuki Thailand melalui lapangan terbang berkenaan.

    Lelaki yang memegang pasport Malaysia itu tiba dari Kuala Lumpur dan ditahan sejurus tiba di balai ketibaan antarabangsa.

    “Suspek dikehendaki berdasarkan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi atas pertuduhan berkaitan rangkaian perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

    “Lelaki itu akan disiasat atas kesalahan berkomplot menjalankan perjudian dalam talian tanpa kebenaran, bersekongkol dengan dua atau lebih individu untuk melakukan pengubahan wang haram, serta melakukan aktiviti pengubahan wang yang berpunca daripada komplot dan tindakan bersama itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama

    Seorang warga Malaysia berusia 26 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada 9 Julai. – Biro Imigresen Polis Diraja Thai
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda