KUALA LUMPUR, 2 JAN – Masyarakat Malaysia berbilang agama menyambut tahun baharu 2022 dengan mendoakan kesejahteraan negara serta menghormati mangsa bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Rata-rata masyarakat akur dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam agar sambutan tahun baharu kali ini dibatalkan sebaliknya diganti dengan solat hajat dan doa selamat sebagai menghormati, bersimpati dengan mangsa banjir.
Masyarakat Islam melakukan solat hajat selepas solat maghrib di masjid terpilih di seluruh negara sementara masyarakat bukan Islam turut melakukan upacara berdoa di rumah ibadat masing-masing.
Di Putrajaya, Perdana Menteri menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena tahun baharu 2022.
Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 7:15 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad untuk menunaikan solat Maghrib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali diikuti solat hajat.
Ia disusuli bacaan zikir istighasah (memohon pertolongan) dan zikir munajat yang dipimpin selebriti Munif Ahmad dan bacaan doa Buatmu Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Turut serta ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – Bernama