Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Mesir mula mengundi dalam pilihan raya parlimen

    KAHERAH, 10 NOV – Rakyat Mesir mula membuang undi hari ini bagi memilih parlimen baharu, yang menurut pengkritik hanya akan mengukuhkan lagi kuasa Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

    Pembukaan pusat mengundi pada pukul 9:00 pagi menandakan permulaan proses berperingkat selama beberapa minggu untuk mengisi 568 daripada 596 kerusi Dewan Rendah, dengan sesetengah wilayah akan mengundi dalam dua minggu akan datang.

    Baki 28 ahli parlimen akan dilantik terus oleh Sisi, bekas ketua tentera yang mengambil alih kuasa selepas menyingkirkan Presiden Islamis, Mohamed Morsi pada 2013.

    Warga Mesir di luar negara membuang undi pada Jumaat dan Sabtu. Di kawasan seperti Alexandria, pengundi mempunyai masa sehingga Selasa untuk mengundi pada pusingan pertama, manakala beberapa wilayah termasuk Kaherah tidak akan mengundi sehingga 24 November.

    Keputusan akhir dijangka diumumkan pada 25 Disember.

    Separuh daripada kerusi diisi melalui senarai parti tertutup manakala separuh lagi oleh calon individu, dengan satu perempat kerusi diperuntukkan untuk wanita.

    Pilihan raya parlimen ini diadakan lebih dua bulan selepas pilihan raya senat, Dewan Atas, yang mencatatkan jumlah kehadiran pengundi rendah sekitar 17 peratus.

    Gabungan pro-kerajaan ‘Senarai Kebangsaan untuk Mesir’ menguasai undian tersebut tanpa sebarang pencabar dalam perlumbaan senarai parti dan dijangka berkuasa sekali lagi. – AFP

    Seorang wanita mengundi di sebuah pusat mengundi di Giza, bandar kembar Kaherah, semasa pilihan raya parlimen, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda