KUALA LUMPUR, 30 Mac – Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara kini dibenarkan pulang ke tanah air, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kesemua mereka berlepas dari Pyongyang pada pukul 7:45 malam ini waktu Malaysia dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 5 pagi esok.
“Saya berterima kasih kepada pegawai kerajaan yang terbabit dengan perundingan itu, diketuai Kementerian Luar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Najib berkata secara peribadi, beliau bimbang dengan perkara itu dan Malaysia telah berusaha gigih di belakang tabir untuk mencapai kejayaan seperti itu.
“Banyak halangan dapat diatasi bagi memastikan kepulangan rakyat Malaysia. Keselamatan warganegara kita sentiasa menjadi keutamaan saya,” kata beliau.
Susulan perkembangan itu, perdana menteri berkata Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini.
“Selain daripada itu, selepas bedah siasat selesai dijalankan terhadap mangsa dan menerima surat daripada keluarganya yang memohon supaya mayatnya dibawa kembali ke Korea Utara, koroner telah memberi kebenaran untuk melepaskan mayat itu,” kata beliau.
Najib berkata kerajaan amat percaya kepada prinsip keadilan dan kedaulatan. – Bernama