Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat M’sia dikecualikan cukai pelancongan

    KUALA LUMPUR, 26 Julai – Rakyat Malaysia dikecualikan daripada membayar cukai pelancongan bagi semua jenis hotel dan premis penginapan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Beliau berkata sebaliknya, cukai berkenaan akan dikenakan terhadap pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan pada kadar RM10 bagi setiap bilik satu malam.

    Mohamed Nazri berkata langkah itu adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap suara rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, selain merancakkan lagi pelancongan domestik.

    Beliau menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) mengenai status terkini pelaksanaan cukai pelancongan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Sebelum ini, Mohamed Nazri berkata hanya pelancong domestik yang tinggal di penginapan empat bintang dan ke atas akan dikenakan cukai pelancongan, manakala tiada bayaran cukai pelancongan terhadap penginapan tiga bintang ke bawah.

    Mohamed Nazri berkata anggaran kutipan cukai pelancongan setahun adalah hampir RM211 juta berdasarkan Purata Kadar Penginapan atau Average Occupancy Rate (AOR).

    “Kita menjangka jumlah kutipan itu akan meningkat apabila lebih banyak premis penginapan yang akan tampil mendaftar berikutan berkuat kuasanya Akta Cukai Pelancongan.

    “Kementerian turut bercadang mengagihkan hasil kutipan cukai pelancongan iaitu bagi setiap RM10 bagi setiap bilik satu malam, RM1 akan dikembalikan kepada negeri-negeri bagi tujuan promosi sektor pelancongan,” katanya.

    Beliau berkata cukai pelancongan tidak akan memberi kesan besar terhadap kemasukan pelancong luar kerana tarikan kadar tukaran mata wang Malaysia lebih rendah berbanding Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda