Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat M’sia yakin perjalanan dalam negara

    KUALA LUMPUR, 1 OKT – Rakyat Malaysia semakin yakin untuk melakukan perjalanan di dalam negara, menurut kaji selidik terkini oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

    Kaji selidik itu menunjukkan 60 peratus daripada 1,000 pelancong Malaysia memilih untuk melakukan perjalanan dalam negara, antara lainnya berikutan kos perjalanan yang lebih rendah dan risiko pendedahan terhadap COVID-19 yang tinggi apabila melakukan perjalanan ke luar negara sebagai alasan pilihan mereka.

    Sementara itu, baki 40 peratus daripada responden telah menyatakan pilihan untuk perjalanan ke luar negara apabila 72 peratus mempertimbangkan untuk mengunjungi destinasi di Asia, dengan tiga negara utama adalah Jepun, China dan Korea Selatan.

    “Walaupun pelancong Malaysia masih berhati-hati dengan perkembangan situasi berkaitan pandemik dan berwaspada terhadap penularan COVID-19, kaji selidik ini menunjukkan rakyat Malaysia ingin melakukan perjalanan udara dalam sektor domestik dan antarabangsa.

    “Dengan dapatan daripada kaji selidik ini, suruhanjaya berharap penggiat industri yang berkaitan akan terus berwaspada dan membuat penambahbaikan yang sewajarnya pada perkara perjalanan utama untuk mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat terhadap perjalanan udara,” kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim dalam kenyataan hari ini.

    Kaji selidik itu turut menekankan bahawa perkara perjalanan utama di lapangan terbang perlu disemak semula untuk memasukkan kawalan orang ramai dan langkah-langkah penjarakan fizikal, sanitasi secara rutin serta kemudahan tanpa sentuh. – Bernama

    Gambar menunjukkan pelancong yang memakai pelitup muka melihat pemandangan dari Menara Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, Malaysia. Kaji selidik menunjukkan 60 peratus pelancong Malaysia memilih untuk melakukan perjalanan dalam negara. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda