Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Myanmar berdepan situasi kemanusiaan meruncing

    JAKARTA, 27 JULAI – Rakyat Myanmar terus berdepan situasi kemanusiaan yang meruncing didorong oleh konflik bersenjata dan bencana alam yang semakin meningkat, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Organisasi itu dalam laporan mingguan Asia dan Pasifik menarik perhatian terhadap peningkatan kekacauan di tenggara, serta pertempuran sekali sekala di utara Shan dan pertempuran sengit di barat laut negara itu.

    Antara 15 dan 20 Julai, lebih 6,000 orang dari timur Bago, Tanintharyi dan utara Shan telah dipindahkan akibat konflik, situasi yang diburukkan lagi oleh cuaca buruk yang bermula pada 18 Julai, kata laporan itu.

    Hujan lebat, banjir dan ribut di utara Shan serta beberapa negeri di tenggara telah memburukkan lagi penderitaan penduduk terjejas.

    Kira-kira 400 orang, termasuk penduduk yang dipindahkan dari perbandaran berbeza di Kayin, Mon dan Tanintharyi telah ditempatkan di tempat perlindungan sementara kerana cuaca buruk, manakala empat kanak-kanak dilaporkan maut akibat banjir.

    Di Rakhine, bantuan terus diperlukan terutama membabitkan komuniti yang terjejas akibat Siklon Mocha kerana musim hujan berterusan, selain ancaman penyakit bawaan air dan nyamuk.

    Setakat 17 Julai, hampir 1.9 juta orang hilang tempat tinggal di seluruh negara, dengan 1.6 juta melarikan diri sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021 yang menamatkan pemerintahan awam di Myanmar. – Bernama

    Gambar fail 17 Mei 2023 menunjukkan negeri Rakhine yang dilanda Siklon Mocha. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda