Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat negara ASEAN selamat dibawa pulang

    ASEAN, 28 APRIL – Operasi membawa pulang rakyat beberapa buah negara ASEAN dari Sudan yang bergolak telah pun dilakukan negara-negara termasuklah Malaysia, Indonesia, manakala rakyat Singapura pula dibawa pulang bersama rakyat Malaysia.

    Di Malaysia, Ops Sudan telah selamat membawa pulang 30 rakyat Malaysia dari negara dibelenggu konflik itu dan telah tiba di negara ini tanpa mengalami sebarang kecederaan hari ini, kata kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

    “Perjalanan (mereka) panjang dari Khartoum ambil masa 30 jam lebih 1,300 kilometer… dengan pelbagai halangan dan cubaan, akhirnya hari ini dapat sampai dengan selamat di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya kepada media selepas menyambut ketibaan 30 rakyat Malaysia itu di lapangan terbang berkenaan hari ini.

    Zambry berkata meskipun Ops Sudan telah selesai, Wisma Putra masih mengikuti perkembangan yang berlaku di Sudan secara dekat.

    “Jika ada rakyat Malaysia yang masih ada di Sudan, pihak keluarga diminta maklumkan kepada Wisma Putra untuk kita bantu cari mereka. Saya nasihatkan rakyat Malaysia yang ingin lawat Sudan untuk tangguhkan perjalanan sehingga keadaan pulih,” katanya.

    Farihin Rosni memeluk dan mencium ibunya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dari Jeddah setelah selamat keluar dari Sudan. – Bernama
    Gambar serahan dan dikeluarkan pada 28 April oleh Kementerian Luar Indonesia menunjukkan kumpulan pertama rakyat Indonesia yang dikeluarkan dari negara bergolak Sudan, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta selepas perjalanan selama 10 jam dari Arab Saudi. – AFP

    Beliau berkata pejabat Kedutaan Malaysia di Sudan ditutup sementara dan segala urusan berkaitan akan dikendalikan oleh Kedutaan Malaysia di Kaherah.

    Sementara itu kumpulan pertama rakyat Indonesia turut kembali ke tanah air hari ini dalam pesawat cartar dari Arab Saudi, kata pegawai. Negara ASEAN itu turut menyertai negara-negara di seluruh dunia memastikan keselamatan rakyatnya dengan mengeluarkan mereka melalui pengangkutan darat, udara dan laut selepas pertempuran antara tentera Sudan dan separa tentera meragut ratusan nyawa dan mencederakan ribuan lagi yang lain.

    Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dan ketua tentera, Yudo Margono menyambut seramai 385 warganya – 248 wanita dan 137 lelaki – yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta selepas penerbangan selama 10 jam dari bandar Jeddah, Arab Saudi.

    “Memandangkan perja-lanan mereka amat jauh dan meletihkan, mereka akan secara sementara diberikan penginapan di timur Jakarta sebelum kembali ke kediaman masing-masing,” Marsudi memberitahu wartawan.

    Menurutnya, sebuah lagi pesawat akan berlepas ke Indonesia pada Sabtu dan kepulangan terakhir adalah pada Ahad.

    Dalam pada itu, Singapura telah melahirkan ‘penghargaan dan terima kasih setinggi-tingginya kepada Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang memudahkan kepulangan rakyatnya dengan selamat dari Khartoum, Sudan yang dibelenggu konflik.

    Kementerian Luar (MFA) ber-kata sejak tercetusnya konflik di Sudan, ia telah memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura di Sudan dan meneroka pilihan untuk memindahkan mereka.

    “Kedutaan Singapura di Riyadh dan Abu Dhabi, serta Konsulat Jeneral Singapura di Jeddah bekerjasama rapat dengan kerajaan tuan rumah dan rakan kedutaan Malaysia untuk memudahkan keluarga Singapura memulakan perjalanan dari Khartoum ke Jeddah,” kata jurucakap MFA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Khamis.

    MFA juga mengesahkan bahawa 14 warga Singapura daripada dua keluarga dan seorang lagi ahli keluarga telah selamat dipindahkan dari Khartoum ke Jeddah, Arab Saudi.

    “Mereka dipindahkan bersama sekumpulan rakyat Malaysia dan warganegara lain dengan bantuan kerajaan Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu,” kata MFA. – Bernama/AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda