Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Palestin mula dapatkan rawatan di Scotland

    ISTANBUL, 21 SEPT – Menteri Pertama Scotland, John Swinney menyambut mesra ketibaan rakyat Palestin dari Gaza ke negara itu untuk mendapatkan rawatan perubatan kelmarin, sambil menyatakan solidariti terhadap Gaza dan mengulangi sokongan Scotland terhadap penyelesaian dua negara, lapor Anadolu Ajansi memetik lapor akhbar tempatan.

    Dalam sepucuk surat terbuka yang ditujukan kepada, “kanak-kanak, keluarga dan pelajar dari Gaza yang tiba di Scotland,” Swinney berkata beliau “terkejut dan sedih dengan situasi yang berlaku di Gaza sejak dua tahun lepas.”

    “Tiada siapa sepatutnya perlu menanggung trauma mendalam dan penderitaan yang awda dan orang tersayang alami,” katanya.

    Beliau menegaskan yang Kerajaan Scotland akan terus mendesak, “gencatan senjata dan peningkatan bantuan kemanusiaan untuk Gaza serta menamatkan pendudukan haram Israel ke atas Palestin,” lapor akhbar The National.

    “Pandangan kami ialah hanya penyelesaian dua negara dapat membawa keamanan berkekalan yang selayaknya dinikmati oleh rakyat Palestin,” katanya.

    Swinney turut menekankan sejarah membanggakan Scotland dalam menyambut kedatangan orang dari seluruh dunia, dan memberi jaminan yang perkhidmatan sokongan tersedia untuk membantu rakyat Palestin menyesuaikan diri dan menetap dalam komuniti tempatan.

    “Scotland adalah negara yang percaya kepada keadilan dan kesaksamaan, dan awda akan melihat banyak tanda sokongan terhadap Palestin di seluruh Scotland,” katanya, sambil menegaskan yang negara itu berdiri ‘dalam solidariti’ bersama mereka.

    Surat itu menyusuli ketibaan kumpulan pertama kanak-kanak Palestin ke Scotland untuk menerima rawatan di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS), sebagai sebahagian usaha kemanusiaan berikutan krisis yang sedang berlanjutan di Gaza. – Bernama/Anadolu 

    John Swinney di Edinburgh, Scotland pada 24 Jun lalu. Beliau sambut rakyat Palestin yang tiba dapatkan rawatan. – Gambar fail Getty Images
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda