BELAIT, 31 OGOS – Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 disambut dengan meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat daerah berkenaan yang tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan raja dikasihi di Padang Bandaran, Jalan Kuala Belait, kelmarin.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Helipad Jalan Maulana, Kuala Belait dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-79 bagi Tahun 2025; Pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-79 serta Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Lebih 2,700 penuntut sekolah beratur di sepanjang tepi jalan raya sambil mengibarkan bendera-bendera kecil Negara Brunei Darussalam termasuk barisan murid-murid sekolah rendah yang memegang bunga manggar.
Acara turut dimeriahkan dengan paluan hadrah bagi sama-sama mengalu-alukan keberangkatan Baginda Sultan serta kerabat diraja.








Sejurus berangkat tiba di Pentas Diraja, lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dinyanyikan.
Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian dijunjung bagi menyaksikan persembahan khas bertemakan Raja dan Rakyat Berjiwa Satu yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah, sekolah rendah, hadrah, koir, gulintangan dan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Acara diteruskan dengan lau-ngan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ sebanyak tiga kali.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke pentas persembahan khas untuk sesi bergambar ramai bersama para peserta dan seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengunjungi pameran-pameran serta berkenan menerima beberapa pesambah.
Sejurus selesai, Baginda Sultan berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Santap.
Pada majlis berkenaan, Baginda Sultan berkenan memotong Kek Hari Keputeraan Baginda ke-79 tahun.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Belait, Yang Arif Mohd Shah bin Taip.
Sebelum berangkat meninggalkan Dewan Santap, Baginda Sultan berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan jemputan-jemputan khas.

