Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat perlu elak elemen negatif

    PAPAR, 17 Ogos – Rakyat perlu memastikan semua elemen negatif tidak berlaku dalam negara yang telah mengecapi kemerdekaan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

    Beliau berkata penghayatan erti kemerdekaan bukan sahaja bagi mengenangkan pengorbanan pemimpin terdahulu membebaskan negara daripada penjajah, tetapi juga bagi menghindarkan penjajahan dalam bentuk lain yang berupaya mengancam perpaduan dalam negara.

    “Walaupun kita tidak lagi dijajah secara fizikal, tetapi ada penjajahan secara halus iaitu pemikiran kita dikuasai oleh suatu yang bukan membawa kepada perkara yang positif, malah boleh membawa kepada kemudaratan dan menjejaskan perpaduan negara kita sendiri.

    “Penjajahan minda, saya kira, merupakan satu perkara yang sangat berbahaya, yang kesannya sangat negatif kalau kita bandingkan dengan penjajahan fizikal kerana ia boleh merosakkan identiti sesebuah negara dan identiti pemikiran bangsa itu sendiri,” katanya.

    Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (belakang tengah) bersama golongan kanak-kanak dan guru Tabika Kampung Seberang Benoni, Papar mengibarkan Jalur Gemilang sempena pelancaran Hari Kebangsaan Tabika Kemas di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Benoni kelmarin. – Bernama
    Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (belakang tengah) bersama golongan kanak-kanak dan guru Tabika Kampung Seberang Benoni, Papar mengibarkan Jalur Gemilang sempena pelancaran Hari Kebangsaan Tabika Kemas di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Benoni kelmarin. – Bernama

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Hari Kebangsaan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini hari ini.

    Menurut Rosnah, masalah penjajahan minda boleh dielakkan melalui pemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

    Terdahulu, Ketua Pengarah Kemas Datuk Amiruddin Ariffin berkata silibus pengajaran dan pembelajaran di tabika Kemas telah ditambah baik bagi melahirkan generasi yang bersemangat patriotik dan berupaya menjaga serta mengekalkan kesejahteraan dan keamanan negara pada masa akan datang.

    Antaranya, Modul Pemupukan Semangat Patriotik bagi menyemai rasa cinta, hormat dan penghargaan kanak-kanak kepada pemimpin dan negara, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda