NOVOSIBIRSK, RUSIA, 13 SEPT – Penduduk Rusia mengundi hari ini dalam pilihan raya serantau yang disurami oleh kes keracunan pemimpin pembangkang Alexei Navalny, yang telah menggesa penyokong mengundi untuk mengusir parti pemerintah yang menyokong Presiden Vladimir Putin.
Di 41 daripada 85 rantau negara, penduduk Rusia sedang mengundi gabenor dan penggubal undang-undang serantau dalam badan perundangan serantau dan bandar serta dalam beberapa pilihan raya kecil untuk ahli parlimen negara.
Pengundi membuang undi pada pagi ini, memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan selain menjalani pemeriksaan suhu untuk melindungi daripada jangkitan koronavirus, kata wartawan AFP di bandar Siberia Novosibirsk.
Pengundian dilihat sebagai ujian utama kawalan Kremlin ke atas politik tempatan apabila parti pemerintah Rusia menyaksikan kemerosotan dalam kepopularan di tengah kemarahan orang awam berhubung pendapatan merosot dan krisis ekonomi.
Pilihan raya dalam negara adalah yang pertama diadakan selama tiga hari dan beberapa stesen pengundian untuk pengundian awal adalah bersifat terbuka. Ketua suruhanjaya pilihan raya Ella Pamfilova pada satu taklimat hari ini menafikan laporan mengatakan pengundi telah membuang undi dalam but kereta tetapi berkata pengundian terbuka sesuai dengan pengundi luar bandar.
“Bagi sesetengah orang, adalah lebih senang untuk datang dan duduk di pondok tepi jalan, itulah hak mereka,” katanya.
Pengundian awal bermula pada Jumaat dan Ahad adalah hari pengundian utama. – AFP
