TAWAU, 1 Dis – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini meminta rakyat di negeri itu mempertahankan keharmonian pelbagai kaum dan agama di Sabah dan tidak membiarkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan.
Katanya selama ini Sabah menikmati keamanan yang didasari persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama.
“Kita tidak mahu ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, yang cuba mempolitikkan agama. “Tidak ada isu agama di negeri kita yang tercinta, yang ada hanya persefahaman dan harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Sabah, di sini hari ini. Beliau berkata keharmonian masyarakat di Sabah juga antara tarikan pelancong ke negeri itu selain keindahan alam semula jadi.
Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam khasnya, menghayati dan mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam mengeratkan ukhuwah sesama hamba Allah SWT. Asas dan kunci kejayaan Sabah pada masa depan bukan terletak pada kekayaan sumber alam semata-mata tetapi kerjasama serta sokongan rakyat penting bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dalam suasana masyarakat yang penuh keharmonia, kedamaian dan keamanan, katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari EM Nadzeer terpilih menerima Anugerah Maulidur Rasul dan Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Douglas Nyeging Taong pula menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul. – Bernama