Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Sarawak diseru terus bersatu padu

    KUCHING, 21 JULAI – Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru agar rakyat Sarawak terus bersatu padu dan berganding bahu dengan kerajaan serta sektor swasta bagi membina masa depan negeri yang lebih gemilang.

    Dalam perutusan sempena sambutan Hari Sarawak, beliau menyifatkan tarikh 22 Julai 1963 sebagai simbol penting jati diri rakyat Bumi Kenyalang apabila pentadbiran Koloni British menyerahkan kuasa pemerintahan untuk menubuhkan kerajaan sendiri yang diketuai Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak.

    “Peristiwa ini merupakan langkah awal penting sebagai persediaan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia bersama Sabah, Singapura dan Tanah Melayu. Penyerahan kuasa pemerintahan ini berlaku sebelum Sarawak secara rasmi menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

    “Peristiwa ini menjadi titik tolak kepada pembentukan identiti Sarawak sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Kita mengenang jasa tokoh-tokoh awal yang membuka jalan seperti Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Datuk Seri Tawi Sli yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk pentadbiran sendiri,” katanya dalam perutusan berkenaan hari ini.

    Wan Junaidi turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Menteri terdahulu termasuk Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atas sumbangan besar mereka terhadap pembangunan Sarawak.

    Mengulas kepimpinan kerajaan negeri masa kini, beliau memuji usaha Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menerajui Sarawak ke arah kemajuan melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030. Beliau berkata fokus PCDS 2030 terhadap pertumbuhan ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen hijau, bioekonomi serta pelaburan dalam pendidikan dan inovasi telah meletakkan negeri itu di landasan kukuh untuk melonjak ke peringkat global.

    “Ekonomi Sarawak telah menunjukkan daya tahan yang kukuh pasca pandemik, dan kini bersedia menjadi peneraju dalam bidang tenaga hijau dan digital.

    “Kemajuan ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama erat antara kerajaan, rakyat dan sektor swasta. Kerajaan menyediakan dasar dan infrastruktur, sektor swasta menjadi pemacu pelaburan, dan rakyat sebagai penyokong aspirasi pembangunan,” katanya. – Bernama

    Tun Wan Junaidi menyeru agar rakyat Sarawak bersatu dengan kerajaan serta sektor swasta. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda