Rakyat Sepanyol divaksinkan pertengahan 2021

MADRID, 20 NOV – Sepanyol akan memvaksinkan sebahagian besar penduduknya yang berjumlah 47 juta orang ke atas koronavirus menjelang pertengahan 2021, umum Perdana Menteri Pedro Sanchez hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah mengemukakan ‘pelan pemvaksinan komprehensif’ yang akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet pada Selasa, menjadikan Sepanyol negara pertama dalam Kesatuan Eropah, selain Jerman untuk merangka skim pemvaksinan sedemikian.

“Kami sudah bersedia,” kata Sanchez, menandakan kerajaan telah mengusahakan pelan itu sejak September.

“Ramalan kami, di bawah senario paling munasabah, menunjukkan sebahagian besar penduduk Sepanyol boleh divaksinkan, dengan semua jaminan, dalam tempoh separuh tahun pertama.”

Tindakan itu, menurut beliau, akan menjadikan Sepanyol ‘negara pertama dalam EU, selain Jerman, yang mempunyai pelan pemvaksinan sepenuhnya.’

Sepanyol telah terjejas teruk oleh pandemik, mencatat lebih 1.5 juta jangkitan, jumlah kes kedua tertinggi di EU selepas Perancis.

Pada bulan lalu, Menteri Kesihatan Salvador Illa berkata kerajaan telah mengarahkan pembelian 31.5 juta dos vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Britain AstraZeneca. – AFP