Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat teruja menanti bertemu Baginda Sultan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAISaban tahun, telah menjadi budaya dan tradisi di Negara Brunei Darussalam untuk mengadakan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk yang sangat unik dan indah dalam memupuk taat setia dan mendaulatkan raja.

    Ia merupakan peluang keemasan bagi penduduk serta rakyat Di Daerah Brunei dan Muara untuk bertemu dengan raja yang dikasihi serta dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam sama-sama menjayakan majlis berkenaan.

    Pelbagai pihak dan organisasi hadir bersama-sama bagi menyembahkan ucapan hari keputeraan kepada raja yang dikasihi pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78.

    Semasa ditemui oleh pihak media, Nurul Izyan binti Anver, Timbalan Yang Dipertua Majlis Belia Brunei mengongsikan bahawa seramai 25 orang Ahli Majlis Belia Brunei di bawah setiap naungan Majlis menyertai acara berkenaan yang cukup teruja untuk turut serta meramaikan lagi suasana.

    Nurul Izyan binti Anver, Timbalan Yang Dipertua Majlis Belia Brunei berasa teruja dalam majlis berkenaan.

    “Kebanyakan ahli-ahli cukup teruja bagi menghadiri acara pada hari ini bagi sama-sama bertemu dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis ini. Kita bersyukur kerana berpeluang untuk hadir bersama bagi meraikan hari keputeraan yang sungguh dinanti-nantikan. Meskipun dengan jumlah yang terhad namun semangat berkobar-kobar dalam kalangan ahli Majlis Belia Brunei masih ada bagi menyertai acara pada kali ini,” katanya.

    Beliau juga meluahkan perasaan terujanya kerana dapat menyertai ke majlis yang sama pada tahun ini. Menurutnya, acara pada tahun ini dilihat berjalan dengan lancar dan sempurna sama seperti tahun-tahun yang lalu dengan persembahan penuh warna-warni yang memukau penduduk Daerah Brunei dan Muara meskipun terpaksa menahan terik panas matahari.

    Dalam kemeriahan dan cuaca panas itu, semangat dan kreativiti juga dilhat pada Awang Haji Masri bin Haji Kambar dari Zon 1 Kampong Ayer yang mempersembahkan buku Purim Mukim Saba “Ristaan Sejarah Kegemilangan Di Negara Brunei Darussalam”.

    Atas & Bawah: Awang Haji Masri bersama buku dan pamerannya.

    Menurutnya, buku berkenaan sudah diterbitkan Jabatan mufti Kerajaan pada tahun lepas dan hasil daripada jualan buku ini nanti akan disumbangkan ke Tabung Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, Tabung Rakyat Palestin di Gaza dan Tabung Anak-Anak Yatim dan lain-lain.

    “Pada hari ini, kami ingin mempersembahkan kepada KDYMM Baginda Sultan dan Ahli Kerabat Diraja di atas persetujuan daripada jawatankuasa sendiri, sebab buku Purih Mukim Saba ini adalah yang julung-julung kalinya diterbitkan secara berskala besar dan ianya telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat di Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.

    Tujuan menerbitkan buku berkenaan dan dipersembahkan pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah kali ini adalah untuk merista bagaimana sejarah mukim saba berhubungan dengan kesultanan Brunei dan semua maklumat berdasarkan daripada cerita orang tua-tua dan juga daripada rujukan para pengkaji sejarah dari luar negara yang membuat kajian di Negara Brunei Darussalam.

    Tidak ketinggalan juga, Haji Ahmad bin Haji Bujang, 78 tahun, Mantan Ketua Kampung Lorong Sikuna dari Pertubuhan Wargamas datang bersama keluarganya dan telah menarik perhatian apabila beliau tampil dengan bersongkok dan berkerusi roda tidak melepaskan peluang untuk bukan hanya untuk bersua muka dengan Baginda Sultan tetapi juga mahu menyembahkan kad ucapan hari keputeraan kepada Baginda.

    Haji Ahmad dan Majer (B) haji Abdul Kani (kanan) berasa teruja untuk bersua muka dengan DYMM Baginda Sultan.

    Beliau mengongsikan keterlibatannya dalam acara ini adalah sebagai merafakkan sembah ucapan Selamat Hari Keputeraan kehadapan KDYMM Baginda Sultan yang ke-78, tahun ini. Beliau juga turut menjelaskan, seperti tahun-tahun sebelumnya, ahli pertubuhan sering terlibat dalam acara seumpama ini yang antara lain bertujuan untuk mengadakan ramah mesra setiap ahli Pertubuhan Wargamas bersama Baginda serta kerabat diraja.

    Selain itu, Mejar (B) Haji Abdul Kani bin Mat Said, 80 tahun berkata, “Pada tahun ini, saya datang bersama rakan-rakan untuk menambah kemeriahan sambutan tersebut”. Selain menitipkan doa agar Baginda Sultan dikurniakan kesihatan sihat serta dipanjangkan umur, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan KDYMM Baginda Sultan kepada rakyat kerana pemberian pencen umur tua kepada wargamas di samping bantuan perubatan percuma serta pembelajaran kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

    Persatuan BASMIDA juga tidak ketinggalan tahun ini menyertai majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda