BANGKOK, 21 JULAI – Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menyatakan kebimbangannya mengenai situasi demonstrasi yang semakin memuncak di Bangladesh dan menasihatkan rakyat Thailand di ibu kota Dhaka supaya sentiasa berwaspada.
“Saya amat bimbang dengan situasi yang semakin memuncak di Bangladesh. Saya sedang memantau ketegangan yang semakin meningkat ini.
“Kami menyeru semua pihak yang terlibat supaya bersikap tenang dan mencapai penyelesaian secara aman,” katanya dalam akaun rasmi X beliau, hari ini.
“Ingatan kami adalah bersama mereka yang terjejas. Rakyat Thailand di Dhaka diminta sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan dari Kedutaan Thailand dengan teliti,” nasihat beliau.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.
Perkhidmatan Internet, rangkaian data mudah alih dan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu. – Bernama


