BANGKOK, 7 MEI – Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan rakyat Thailand beratur panjang di pusat-pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih kerajaan yang bakal menerajui pentadbiran negara menjelang pilihan raya umum pada minggu depan.
Hari ini, lebih 2 juta daripada 52 juta rakyat Thailand telah mendaftar untuk mengundi awal.
Pusat mengundi dibuka seawal 8 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang (waktu tempatan) hari ini.
Pilihan raya umum kali ini akan memilih 500 ahli Dewan Rakyat.
Di Bangkok, lebih 800,000 pengundi dijangka mengundi hari ini.
Pengundi beratur di pusat-pusat mengundi di luar pejabat daerah, pusat membeli-belah, sekolah dan kuil.
Jumlah pengundi awal ter-besar ialah di Universiti Ram-khamhaeng dengan 52,000 pengundi diikuti Dewan Paragon Diraja di Pusat Beli-belah Siam Paragon (40,000) dan Pejabat Daerah Huai Kwang (28,000).
Parti pembangkang Pheu Thai mendahului dalam kebanyakan tinjauan pendapat diikuti oleh Parti Move Forward yang progresif.
Paetongtarn Shinawatra, anak bongsu bekas Perdana Menteri Thaksin, menduduki tempat pertama atau kedua bagi calon perdana menteri dalam kebanyakan tinjauan pendapat.
Selain itu, Pita Limjaroenrat, ketua parti Move Forward juga merupakan seorang lagi pesaing bagi merebut jawatan perdana menteri. – Bernama