DILI, 16 SEPT – Polis Timor Leste melepaskan gas pemedih mata hari ini bagi meleraikan penunjuk perasaan yang memasuki hari kedua membantah rancangan membeli kereta rasmi baharu untuk ahli parlimen, yang menjadi isu panas di salah sebuah negara termiskin di Asia Tenggara.
Menurut wartawan AFP, lebih 2,000 orang yang kebanyakannya pelajar dari beberapa universiti di ibu negara Dili berhimpun berhampiran Parlimen Nasional bagi membantah rancangan pembelian kereta untuk 65 orang ahli parlimen.
Demonstrasi yang bermula secara aman bertukar ganas apabila polis melepaskan gas pemedih mata selepas sebahagian penunjuk perasaan membaling batu ke arah mereka.
Protes hari ini tercetus susulan bantahan serupa sehari sebelumnya, yang mendorong beberapa parti politik mengumumkan mereka akan meminta parlimen membatalkan pembelian tersebut.
Parti-parti yang sama sebelum ini telah meluluskan belanjawan 2025 yang memperuntukkan dana untuk kenderaan berkenaan.

Penunjuk perasaan berikrar akan terus mengadakan demonstrasi sehingga rancangan itu dibatalkan secara rasmi.
“Kami mahu keputusan membeli kereta itu dibatalkan. Keputusan ini perlu dibuat oleh presiden Parlimen Nasional,” kata aktivis Domingos de Andrade, 34, kepada wartawan hari ini.
“Mereka perlu hentikan tabiat buruk membeli kereta.”
Para penunjuk perasaan membawa kain rentang dengan mesej mendesak pihak berkuasa untuk ‘hentikan pencuri, hentikan perasuah’. Mereka juga membakar tayar dan sebuah kenderaan kerajaan berhampiran bangunan parlimen.
Sehingga hari ini, kerajaan Timor Leste masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung bantahan itu.
Dalam kenyataan bersama kelmarin, Kongres Nasional Rekonstruksi Timor, Parti Demokratik dan Enrich the National Unity of the Sons of Timor berkata pembelian itu ‘tidak mencerminkan kepentingan rakyat’ dan berjanji akan meminta parlimen membatalkannya.
Timor Leste, negara termuda di Asia Tenggara, meraih kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002. Bekas tanah jajahan Portugis itu masih bergelut dengan ketidaksamarataan, masalah kekurangan zat makanan dan pengangguran, selain ekonominya yang sangat bergantung kepada hasil minyak. – AFP







