MONROVIA, 26 Dis – Rakyat Liberia keluar mengundi hari ini untuk sama ada memilih bekas pemain bola sepak antarabangsa George Weah atau Timbalan Presiden Joseph Boakai sebagai presiden baru mereka, dalam undi yang dikatakan para penganalisis sebagai persaingan sengit.
Selepas penangguhan selama tujuh minggu disebabkan cabaran undang-undang ke atas suruhanjaya pilihan raya yang dibuat oleh parti Boakai, stesen-stesen mengundi dibuka pada pukul 8 pagi bagi 2.1 juta pengundi negara Afrika Barat.
Mereka akan memilih pengganti Presiden Ellen Johnson Sirleaf yang meletak jawatan setelah berkhidmat selama 12 tahun sebagai pemimpin wanita pertama Afrika yang dilantik, mewakili satu-satunya pemindahan kuasa demokratik Liberia sejak tahun 1944.
Trak-trak yang dipenuhi dengan bahan-bahan pengundian diiringi oleh polis di sekitar bandar Monrovia semalam, selepas meninggalkan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) yang telah bergegas membersihkan daftar pengundi kebangsaan untuk mengelak dakwaan penipuan.

“Sudah tiga hari saya tidak tidur. Kami memastikan tiada apa-apa sebarang masalah kerana pilihan raya ini sangat penting,” seorang anggota polis yang nampak tertekan memberitahu AFP.
Kedua-dua pesaing telah pun mengumumkan keyakinan mereka dalam meraih kemenangan tetapi keputusan akhir tidak dijangka untuk diketahui dalam tempoh beberapa hari.
Dalam pusingan pertama pengundian pada 10 Oktober lalu, Weah mendahului dengan 38.4 peratus, manakala Boakai di tempat kedua dengan 28.8 peratus, yang membawa kepada pusingan kedua pengundian kerana tidak seorang pun pesaing meraih lebih 50 peratus yang diperlukan bagi kemenangan mutlak.
Boakai kemudian menuduh NEC menipu dan tidak layak yang menjejaskan pengundian telah menangguhkan prosiding, sementara aduan dianalisis oleh Mahkamah Tinggi. Bantahan partinya itu akhirnya ditolak. – AFP