TASHKENT, UZBEKISTAN, 30 APRIL – Pengundi di Uzbekistan mula mengundi hari ini dalam referendum bersejarah mengenai pindaan perlembagaan yang jika diluluskan kelak bakal mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini.
Proses pengundian dijadualkan berakhir pada 8 malam dan keputusan dijangka diumumkan dalam tempoh 10 hari.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat terdapat kira-kira 19.72 juta pengundi berdaftar.
Pengundian juga sedang dijalankan di 55 tempat di luar negara manakala di Uzbekistan melibatkan 10,758 pusat mengundi.
Ketua Suruhanjaya daerah Samarkand, Farmon Toshev, berkata referendum itu akan meningkatkan reputasi Uzbekistan di mata dunia.
Draf perlembagaan referendum itu menyentuh pelbagai aspek seperti pemerkasaan wanita, hak belia, kesihatan dan pendidikan.
Pihak berkuasa berkaitan turut membantu memudahkan proses pengundian di rumah bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan, warga emas dan orang kurang upaya.
Lebih 200 pindaan dan penambahan kepada 64 Perkara di dalam perlembagaan negara sedang dicadangkan.
Terdapat perbincangan di seluruh negeri dengan lebih 220,000 cadangan diterima daripada rakyat.
Referendum berpaksikan rakyat itu mengambil kira aspirasi generasi muda memandangkan jumlah penduduk negara dijangka mencecah 50 juta menjelang 2040 dengan lebih separuh daripadanya terdiri golongan belia.
Pungutan suara mengenai pindaan perlembagaan itu merupakan sebahagian daripada pembaharuan yang dilaksanakan oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev sejak menjadi Presiden sementara pada September 2016. – Bernama