Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakyat Vietnam diminta waspada ramalan hujan lebat

    HANOI, 13 OKT – Hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di wilayah timur laut dan utara tengah Vietnam pada sebelah petang dan malam nanti, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya banjir kilat, tanah runtuh dan pembanjiran, menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan (NCHF), lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

    Jumlah hujan antara 15 hingga 30 milimeter (mm) dijangka direkodkan di wilayah timur laut, dengan beberapa kawasan dijangka menerima hujan lebih 70mm, manakala hujan antara 20 hingga 40 mm berkemungkinan berlaku di wilayah tengah dari Thanh Hoa hingga Ha Tinh, dengan lebih 80 milimeter hujan di beberapa kawasan.

    NCHF turut memberi amaran mengenai kemungkinan hujan lebat melebihi 70 mm dalam tempoh tiga jam yang disertai puting beliung, kilat, hujan batu dan angin kencang di wilayah-wilayah berkenaan.

    Pusat itu juga memberi amaran mengenai risiko berlakunya banjir di sungai-sungai kecil, tanah runtuh di kawasan lereng bukit, serta pembanjiran di kawasan rendah, bandar dan zon perindustrian. Tahap risiko bencana diklasifikasikan sebagai Tahap 1 iaitu yang terendah dalam skala lima tahap.

    NCHF turut menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya sentiasa mengikuti ramalan cuaca dan bersiap siaga menghadapi bencana alam bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda. – Bernama/VNA 

    Seorang lelaki membawa botol air merentasi air banjir selepas hujan lebat akibat Taufan Matmo di bandar Thai Nguyen pada 8 Oktober. Rakyat Vietnam diminta waspada dengan hujan lebat. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda