BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Badan Sukarelawan Belia Daie dengan dukungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), baru-baru ini telah menganjurkan Program Siri Tadabbur Al-Quran 7.0 yang diadakan di Dewan Serbaguna, PDI.
Program tersebut diisikan dengan ceramah bertajuk Ramadan Pergi, Ibadah Jangan Berhenti, mengambil petikan dari Surah Hud ayat 112 hingga 115, yang disampaikan oleh Penolong Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman.
Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan istiqamah dengan memegang teguh pada dinullah, mengutip kata-kata Ibn ‘Abbas RA, yang menyatakan ayat 114 sebagai tuntutan paling berat dalam Al-Quran. Beliau merincikan tiga dimensi istiqamah iaitu dengan lisan, hati, dan jiwa; serta menggarisbawahi cabaran dalam mempertahankan kebenaran, termasuk rasa kecewa dan putus asa.
Selain itu, program itu juga mengongsikan beberapa tips untuk beristiqamah, termasuk menjaga niat, berkawan dengan orang soleh, dan berada dalam lingkungan yang positif. Selain itu, ditekankan empat rukun istiqamah yang meliputi ketaatan dalam menjalankan perintah Allah, menjauhi zalim, mendirikan solat fardu dan bersabar.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan sesi kuiz online, sebagai upaya pengukuhan pengetahuan dan pemahaman tentang ayat-ayat yang telah ditadabbur.
Seramai 70 orang telah menghadiri program tersebut yang terdiri daripada kalangan Asatizah Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kerajaan, golongan pesara, para belia termasuk NGO luar, mahasiswa dan mahasiswi universiti, para alumni Akademi Dakwah dan juga persendirian.
Program berkenaan diharapkan menjadi wadah bagi belia dalam menjalankan amar makruf di Negara Brunei Darussalam dan memupuk cinta terhadap Al-Quran melalui amalan pembacaan dan tadabbur Al-Quran sepanjang hayat.


