Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Bersempena bulan suci Ramadan ini, ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Bunut berserta anggota PK daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengendalikan acara keagamaan iaitu membaca Surah Yasin , Bertahlil dan Doa Arwah di Makam di Luba, Kampung Bunut Perpindahan.
Acara berkenaan dihadiri oleh anggota-anggota dari Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan dan Balai Polis Kampong Ayer yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat, Penolong Penguasa Polis Mohd Izzuddin Hanis bin Haji Mohd Salleh. Turut menghadiri dalam acara tersebut Pemangku Ketua Kampung Bunut, Haji Durahim bin Hassan beserta ahli-ahli PK Kampung Bunut.
Bacaan Surah Yasin, tahlil dan bacaan Doa Arwah dipimpin oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kampung Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul.
Program yang dijalankan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena menyambut bulan Ramadan yang penuh berkat ini selain membina dan mengeratkan lagi talian persahabatan sesama ahli-ahli PK kampung berkenaan.
