Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ramadan didik umat Islam disiplinkan diri

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bulan Ramadan diibaratkan sebagai sebuah madrasah yang mendidik umat Islam mendisiplinkan diri dalam menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah untuk mendapatkan kelebihan dan keistimewaan takwa yang dijanjikan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

    Perkara tersebut merupakan antara kandungan inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin dari Surau Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong, bagi menyerikan Program Malam Munajat anjuran KHEU kali ke-173, semalam.

    Beliau turut mengongsikan bahawa bulan Rejab merupakan bulan untuk bercucuk tanam (berjinak-jinak memantapkan amal ibadah), kemudian bulan Syaaban pula merupakan bulan untuk membaja dan menyiram tanaman (melatih diri menambah dan memperbanyakkan amalan).

    Manakala bulan Ramadan pula merupakan bulan di mana kita menuai dan menikmati kemanisan hasil tanaman (beribadah dengan penuh kenikmatan dan kemanisan).

    Ini bermakna, untuk mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan amal ibadah di sepanjang bulan Ramadan, kita perlu mempersiapkan diri seawal dari bulan Rejab lagi, bukan ketika masuk bulan Ramadan baru hendak mula meningkatkan kualiti ibadah.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai Program Malam Munajat secara maya. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Acara Munajat semalam mengundang Komandan Kem Latihan PKBN, Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah, untuk memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi.

    Turut sama menyertai ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

    Turut menyemarakkan acara ialah pelatih-pelatih PKBN, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, dan Masjid Sufri Bolkiah, Kampung Perpindahan Berakas serta beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh negara.

    Juga menyertai, warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

    Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh 14577 Pelatih Awang Asna Qawi Ni’matullah bin Hasnan daripada Platun 1, PKBN Pengambilan ke-13 dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi.

    Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Penyelidik, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Pengiran Muhammad Muzhaffar bin Pengiran Haji Rusjdi dari Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Selesai tazkirah, diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh 14345 Pelatih Awang Ahmad Hambali bin Haji Ahmad Hilmi daripada Platun 3, PKBN Pengambilan ke-13 dari Surau Kem Latihan PKBN, Batu Apoi.

    Selepas itu acara ditutup dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Imam Tingkat 1, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Abdul Razak bin Samat dari Masjid Sufri Bolkiah, Kampung Perpindahan Berakas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda