Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ramadan disambut dalam keadaan suram di Asia

    JAKARTA – Pada Khamis dan Jumaat lalu, umat Islam di seluruh dunia telah mula menyambut bulan Ramadan dengan berpuasa dari subuh hingga terbenam matahari.

    Tetapi ramai yang harus terpaksa meninggalkan solat berjemaah dan berkumpul bersama keluarga yang menjadikan bulan suci itu istimewa, kerana pihak berkuasa mengekalkan penutupan yang bertujuan untuk membendung penularan wabak koronavirus.

    Bulan Ramadan merupakan musim perayaan, dengan melakukan ibadah puasa sepanjang hari diikuti dengan makanan mewah dan perkumpulan ramai pada waktu malam. Tetapi tahun ini ramai orang yang terkurung di rumah masing-masing, perjalanan sangat terhad dan tempat-tempat awam seperti taman, pusat membeli-belah dan juga masjid diarahkan untuk tutup sementara.

    Ramai juga yang dilanda oleh kegelisahan mengenai pandemik dan kehilangan pekerjaan yang meluas akibat penutupan seluruh dunia.

    “Ini terlalu menyedihkan untuk diingat dalam sejarah,” kata Belm Febriansyah, seorang penduduk di ibu kota Indonesia, negara Muslim paling ramai di dunia.

    Gambar bertarikh 24 April 2020, menunjukkan seorang lelaki duduk di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta yang sunyi di Tangerang, Indonesia. – AP
    Para sukarelawan membersihkan kawasan masjid sempena bulan Ramadan di Peshawar, Pakistan. – AP
    Malaysia, Singapura dan Brunei telah meniadakan bazar Ramadan tahun ini dan mengarahkan orang ramai menjaga kesihatan dan langkah-langkah pencegahan penularan wabak koronavirus seperti memakai penutup mulut dan hidung. – AP

    Jakarta adalah pusat wabak di negara itu, yang telah melaporkan lebih daripada 8,200 jangkitan dan 689 kematian. Perkhidmatan penerbangan dan kereta api telah ditangguhkan, dan kereta persendirian dilarang meninggalkan kota.

    Virus ini menyebabkan gejala ringan hingga sederhana bagi kebanyakan orang, yang boleh pulih dalam beberapa minggu. Tetapi sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan penyakit yang teruk atau kematian, terutama terhadap pesakit yang tua atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

    Negara-negara majoriti penduduk Islam mula menerapkan larangan meluas pada pertengahan Mac lalu, dengan membatalkan solat Jumaat dan menutup tempat-tempat ibadat. Arab Saudi sebahagian besarnya menutup Mekah dan Madinah dan menghentikan ibadat haji dan umrah sepanjang tahun.

    Pada hari Jumaat lalu, kerajaan campuran yang dipimpin Arab Saudi mengatakan akan melanjutkan gencatan senjata dengan pemberontak Houthi yang berpihak kepada Iran di Yaman hingga bulan Ramadan. Pertempuran telah berlanjutan, dengan masing-masing menyalahkan pihak yang lain.

    Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam memanjangkan perintah larangan pergerakan selama dua minggu lagi hingga 12 Mei ini, walaupun kes virus hariannya telah menurun dengan ketara dalam seminggu yang lalu. Negara ini kini mempunyai 5,742 kes, termasuk 98 kematian.

    Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengatakan dalam sidang yang disiarkan di TV pada malam bulan Ramadan bahawa ‘jihad’ melawan wabak itu telah menunjukkan hasil tetapi harus diteruskan.

    Malaysia, bersama dengan negara jiran Singapura dan Brunei, telah melarang mengadakan bazar Ramadan, di mana makanan, minuman dan pakaian dijual di pasar terbuka atau gerai tepi jalan yang sesak. Bazar adalah sumber pendapatan utama bagi banyak peniaga kecil, beberapa di antaranya telah menukar perniagaan mereka secara dalam talian.

    Di Pakistan, Perdana Menteri Imran Khan telah tunduk pada tekanan dari pendirian ulama yang kuat di negara itu dan membiarkan masjid tetap terbuka, walaupun jumlah kes baharu baru-baru ini meningkat dua kali ganda menjadi antara 600 dan 700 setiap hari. Beberapa orang ulama telah memerintahkan pengikut mereka untuk beramai-ramai pergi ke masjid, mengatakan bahawa iman mereka akan melindungi mereka. Namun, wilayah selatan Pakistan, melarang melakukan solat di masjid pada bulan Ramadan ini setelah Persatuan Perubatan Pakistan meminta pihak berkuasa menutup masjid di seluruh negara.

    Unsur utama bagi bulan Ramadan adalah amal jariah, dengan berpuasa yang sebahagiannya bertujuan untuk menanamkan rasa empati kepada yang memerlukan. Tetapi banyak negara telah melarang larangan berbuka puasa ber-amai-ramai, sebaliknya memaksa badan amal mengatur penghantaran ke rumah-rumah.

    Di Turki, pihak berkuasa telah melarang tradisi mendirikan khemah dan meja di kawasan luar untuk menyediakan makanan percuma kepada orang miskin. Ini juga melarang orang yang pergi dari pintu ke pintu untuk membangunkan orang untuk bersahur sebelum masuk waktu solat fardu Subuh yang merupakan satu tradisi.

    Menteri Kesihatan Fahrettin Koca menulis ciapan bahawa bulan Ramadan tidak boleh menjadi ‘alasan untuk meringankan langkah berjaga-jaga’.

    “Bulan keberkatan tidak boleh mengakibatkan penyakit,” katanya.

    Kaherah telah dilanda oleh ribut pasir pada hari pertama Ramadan. Pihak berkuasa Mesir telah mengurangkan perintah berkurung pada waktu malam setiap satu jam dan mengurangkan sekatan di pusat membeli-belah.

    Ini merupakan perubahan yang agak ketara dari tahun-tahun kebelakangan ini, di mana kebiasaannya orang-orang Mesir keluar berjalan-jalan pada waktu malam, membeli-belah dan beramai-ramai pergi ke kafe-kafe kaki lima.

    “Ini sesuatu yang tidak menggembirakan dari tahun-tahun yang sudah,” kata penduduk Kaherah, Shabaan Maghraby.

    “Kami berharap dengan berkat dan doa yang datang bersama bulan suci ini, wabak itu akan berakhir.”

    Bulan Ramadan mula disambut di India pada hari Sabtu lalu, yang telah dirosakkan oleh meningkatnya Islamofobia berikutan tuduhan bahawa peningkatan jangkitan dikaitkan dengan pertemuan tiga hari pada bulan Mac lalu di New Delhi oleh sebuah kumpulan dakwah Islam, Tablighi Jamaah.

    Sesetengah pemimpin Parti Bharatiya Janata nasionalis Hindu yang berkuasa di India melabelkan pertemuan itu sebagai ‘keganasan korona’. Akibatnya, banyak umat Islam menghadapi stigma, ancaman dan boikot pada peniaga-peniaga yang menjelajah ke kawasan yang dikuasai Hindu. Perintah berkurung di India, merupakan yang paling kejam di dunia, yang telah menggandakan masalah mereka.

    Sekumpulan lebih berpuluh-puluh cendekiawan Muslim India telah meminta masyarakat mereka untuk benar-benar mengikuti perintah berkurung dan berdoa di rumah. Mereka juga meminta umat Islam untuk tidak menganjurkan pesta secara besar-besaran yang diadakan untuk berbuka puasa dan solat tarawih yang diadakan pada setiap malam bulan Ramadan di masjid-masjid.

    “Ahli keluarga harus menggunakan situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya ini untuk bimbingan dan pemurnian rohani,” kata mereka, sambil meminta sukarelawan dan warga emas setempat untuk menjaga mereka yang memerlukan dan miskin.

    Seramai 200 juta penduduk Muslim di India, 14 peratus daripada populasi, adalah kumpulan minoriti terbesar di negara yang majoritinya ber-agama Hindu, tetapi mereka juga yang paling termiskin. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda