Ramadan disambut dalam suasana berbeza

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Tahun 2020 pasti akan sentiasa dikenang semua orang lebih-lebih lagi masyarakat di seluruh dunia kerana perubahan mendadak yang berlaku dalam skala besar-besaran daripada keadaan biasa hingga kepada luar biasa.

Ia bukanlah kerana keunikan nombor tahun ini, tetapi tempias pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan hampir seluruh dunia yang bukan saja memusnahkan ekonomi, tetapi turut mengubah cara kehidupan normal.

Tidak terkecuali masyarakat Islam di seluruh dunia yang turut merasakan perbezaan baharu dalam menyambut bulan suci Ramadan kali ini.

Pada lazimnya, apabila kedatangan bulan Ramadan kita akan sentiasa bersedia dari segi mental dan rohani.

Namun kali ini, keadaan dan suasana sangat berlainan sama sekali disebabkan langkah-langkah baharu yang dikenakan bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak COVID-19 yang belum diketahui bila akan berakhir.

Penutupan masjid dan surau di seluruh negara memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan iman bersama keluarga dalam bulan Ramadan.

Bagaimanapun, hidup perlu diteruskan, ibadah puasa wajib ditunaikan manakala amalan-amalan sunat yang lain seperti tarawih, tadarus juga harus dikerjakan bagi sama-sama menghidupkan dan memeriahkan malam bulan Ramadan.

Masjid-masjid dan surau yang telah ditutup bukan alasan kukuh untuk meninggalkan aktiviti-aktiviti keagamaan yang sering dilakukan sepanjang bulan puasa, memang ia akan mencetuskan perbezaan besar namun mungkin ada hikmah dan iktibar di sebaliknya.

Tambahan lagi, bazar Ramadan yang ditiadakan menyebabkan kita akan terasa sekali kelainan suasana Ramadan sebelum ini yang diraikan dengan penuh meriah.

Antara hikmah penutupan masjid, larangan berkumpul beramai-ramai menjadi peluang terbaik untuk sama-sama meningkatkan iman bersama keluarga dengan ketua keluarga belajar menjadi imam solat Sunat Tarawih serta mengepalai tadarus, dalam masa yang sama mengeratkan silaturahim kekeluargaan.

Namun perlu diingatkan, aktiviti-aktiviti tersebut harus mengaplikasikan prosedur standard (SOP) Kementerian Kesihatan iaitu mengelakkan mengadakan majlis keagamaan dalam kalangan ahli keluarga yang terlalu ramai dan juga menjaga kebersihan tetap diutamakan.

Sementara itu, seorang warga emas, Haji Junaidi bin Haji Sulong, 68, ketika ditanya mengenai acara keagamaan semasa bulan Ramadan ini, beliau mengatakan sedang merancang untuk mengadakan tarawih, tadarus dan qiamullail bersama anak-anak dan menantu beliau bermula hari ini.

“Tarawih dan qiamullail pula wajar dilakukan sepertiga malam dan bukan seperti
biasa selepas Isyak. Ini memberi ruang untuk sahur yang sempurna sebelum solat Subuh dilakukan sekeluarga berjemaah,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa anak-anak turut memainkan peranan yang penting kerana mungkin sebelum ini mereka terlalu kerap keluar bersama kawan-kawan tetapi ketika ini saat berada di rumah, anak-anak bolehlah mengambil peluang ini untuk membantu ibu bapa dengan melakukan banyak hal seperti membersihkan kawasan rumah dan sebagainya.

Sementara itu, Hajah Zatul Hijanah binti Haji Sulaiman ketika ditemu bual mengenai aktiviti bulan Ramadan berkata, ”Antara amalan yang sering dilakukan di bulan Ramadan ialah bersedekah di mana pada kebiasaannya sedekah untuk berbuka puasa akan dihantar ke masjid-masjid dan balai ibadah.

“Tetapi dalam situasi ketika ini, kita bolehlah terus menghantar sedekah tersebut dengan menggunakan aplikasi gerai Ramadan secara atas talian yang menyediakan perkhidmatan penghantaran yang boleh terus dihantar ke tempat yang dikehendaki,” ujarnya.