Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ramadan: Sumbangan $76,700 untuk majlis, aktiviti masjid

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Sebanyak 71 buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara hari ini menerima sumbangan kewangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang keseluruhannya berjumlah $76,700 bagi tujuan mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya untuk sepanjang bulan Ramadan 1446 Hijrah yang bakal menjelang.

    Majlis penyampaian sumbangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara itu telah diadakan di Dewan Serba guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan.

    Bagi masjid, surau dan balai ibadah di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait, sumbangan telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Bagi Daerah Tutong dan Daerah Temburong pula, sumbangan disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Sumbangan berkenaan merupakan usaha Yayasan bagi menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam semasa mengadakan majlis dan aktiviti takmir masjid, surau dan balai-ibadat.

    Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.

    Penubuhan Yayasan adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Turut hadir di majlis itu ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyampaikan sumbangan bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait pada majlis di Dewan Serba guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan sumbangan bagi Daerah Tutong dan Daerah Temburong. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda