Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Ibadah puasa bukan sahaja dilaksanakan untuk menahan lapar dan dahaga, akan tetapi berpuasa dapat menyucikan jiwa dan menahan nafsu syahwat.
Selain itu, Allah SWT juga memberi keringanan kepada mereka yang mengalami kepayahan dalam menunaikan ibadah puasa seperti sakit dan musafir. Turunnya Al-Quran pada bulan Ramadan menunjukkan istimewanya bulan tersebut dari bulan-bulan lain, dan merupakan waktu terbaik melipatgandakan amalan dengan ganjaran yang berlipat ganda kepada para pembaca ayat-ayat suci Al-Quran.
Demikianlah antara huraian inti sari dan pengajaran ayat daripada tadabbur Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 183 hingga ayat 185 yang disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Dakwah, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Awang Muhammad Jalalluddin bin Junaidi dari Masjid Ash Shaliheen, bagi menyerikan Munajat Ramadan, kelmarin.
Acara Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHUE) kali ke-176 dengan kerjasama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam itu telah diadakan secara maya bersempena Sambutan Hari Al-Azhar Al-Syarif Sedunia 1446H.
Munajat Ramadan turut mengundang tetamu khas iaitu Raes Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Ash Shaliheen.

Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Pelajar Tahun 1, Mahad Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir, Awang Muhammad Faaiz bin Fisol, dari Surau Darussalam, Republik Arab Mesir.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Naib Raes I, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussaalam, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dari Masjid Ash Saliheen.
Selepas Tadabbur Al-Quran, acara diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Unit Agama dan Akhlak, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir Sesi 2024/2025, Awang Ahmad Nasyaruddin bin Haji Abdul Rahim, dari Surau Darussalam, Republik Arab Mesir.
Acara diikuti dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat I, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Latif bin Haji Zaini, dari Masjid Kampung Tanjong Maya, Tutong.
Turut menyemarakkan Munajat Ramadan ialah ahli-ahli Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam; tenaga akademik dan para penuntut Brunei Darussalam dari Republik Arab Mesir. Juga hadir ialah ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat serta warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya dan juga individu yang turut serta secara maya.