KUALA SELANGOR – Siapa sangka, di sebalik deretan kedai lama di Jalan Ara, tersembunyi sebuah bengkel tembikar yang telah bertahan selama tiga generasi dalam menghasilkan pelbagai produk tanah liat secara tradisional dengan menggunakan perkakas yang telah berusia lebih 25 tahun.
Di sinilah terletaknya Ramadas Pottery, milik V. Ramadas, 74, yang masih setia memusingkan tanah liat menggunakan teknik ‘lemparan alin’ iaitu sebuah proses untuk membentuk tanah liat yang diwarisi daripada bapanya untuk dijadikan belanga, periuk nasi serta buyung air.
“Kami memang guna mesin pottery yang moden di kilang, tetapi untuk kedai ini saya kekalkan cara tradisional. Pelancong suka tengok cara lama dan ramai yang mahu cuba buat sendiri secara hands-on,” katanya ketika ditemui pada program Star Healing 2025 anjuran Tourism Malaysia di premisnya baru-baru ini.
Bergiat dalam pembuatan tembikar sejak 1976, Ramadas berkata permintaan terhadap produk tanah liat kekal tinggi kerana pengguna semakin menyedari kelebihannya berbanding peralatan moden.
Malah, jika digunakan dengan kerap, tembikar katanya mampu bertahan hingga setahun dan jika dijadikan hiasan boleh tahan jauh lebih lama.
Merupakan Adiguru Kraf Tembikar atau Master Tukang Tembikar pada 2012, Ramadas tidak hanya bergantung pada warisan ayahnya sebaliknya beliau memperluas kemahiran dengan mengikuti kursus di dalam dan luar negara, antaranya di Indonesia, India, Vietnam, China serta di Malaysian Institute of Art (MIA).
Usaha gigihnya itu akhirnya membuahkan hasil apabila bapa kepada tiga cahaya mata ini berjaya membuka kilang sendiri pada 2000, dengan bantuan permulaan sebanyak RM2,000, yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor ketika itu Tan Sri Muhammad Muhd Taib selepas melihat sendiri kemahirannya. – Bernama
