Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Bagi melibatkan penduduk pedalaman dalam menyambut hari-hari kebesaran Islam, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pengembangan Dakwah (Dakwah Khas) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Belait telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Dakwah ke Rumah Panjang Kampung Kukop dan sekitarnya di Mukim Sukang, Daerah Belait, kelmarin.
Ia diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para pegawai dan kakitangan PDI dengan para mualaf dan bukan Muslim serta kira-kira 100 orang penduduk rumah-rumah panjang Mukim Sukang dan Mukim Melilas yang berdekatan.
Rombongan PDI berkenaan diketuai oleh Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
Selain ramah mesra bersama penduduk kampung, majlis juga diisikan dengan peletakan sudut bacaan PDI dan penandaan arah kiblat melalui kerjasama dengan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann dan Ketua Pegawai Agama Belait, Awang Mohd Aliyani bin Ismail.
