Wednesday, February 12, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ramah mesra bersama peserta Program SBYLEP ke-4

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu Hai Yien baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof di kementerian berkenaan.

    Puan Yang Terutama Grace Fu berada di Negara Brunei Darussalam dalam rangka lawatan kerja bagi Program Pemimpin Muda di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang mana delegasi Singapura diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean.

    Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua menteri bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai hal ehwal kebudayaan, belia dan kemasyarakatan serta perkara-perkara kepentingan bersama.

    Selepas mengadakan perjumpaan, Yang Berhormat Pehin dan Puan Yang Terutama juga berkesempatan bersua muka dan beramah mesra dengan peserta Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura-Brunei (SBYLEP) ke-4 di Dewan Digadong kementerian berkenaan.

    Semasa perjumpaan itu, kedua-dua menteri juga mendengar dapatan dan cadangan daripada peserta mengenai Program SBYLEP dan juga hubungan kerjasama kedua-dua negara terutama dalam bidang kebeliaan.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Singapura dalam Program SBYLEP ke-4.
    Kapten (B) Zailan ketika menyampaikan taklimat kepada para peserta Program SBYLEP di KHub.

    Program tahunan SBYLEP bagi tahun ini diadakan di Negara Brunei Darussalam bermula dari 31 Oktober hingga 5 November 2017 dengan tema ‘Memperkasa Belia’.

    Rombongan dari Singapura turut disertai oleh pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Negara Brunei Darussalam dan pegawai dari Kementerian Masyarakat dan Belia Republik Singapura.

    Turut hadir pada majlis kunjungan itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Muhd Juanda bin Haji A. Rashid dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil serta Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad serta pegawai kanan kementerian berkenaan.

    Sebelum ini juga, Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura-Brunei telah mengadakan lawatan ke Program Kotej dan Inisiatif Belia (CYiP) yang terletak di I-Centre dan mendengar taklimat mengenai latar belakang CYiP disampaikan oleh Pengetua Mentor Kapten (B) Zailan bin Pehin Datu Kerma Setia Mejar (B) Dato Seri Laila Jasa Mohd Don di Bangunan Knowledge Hub (KHub).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda