Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Dalam kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan oleh seluruh umat Islam di negara ini, kebajikan anak-anak yatim tidak dilupakan bagi sama-sama merasakan kegembiraan menyambut hari kemenangan Islam.
Sehubungan itu, Majlis Ramah Mesra Hari Raya bersama Anak-anak Yatim Kampung Sungai Kedayan B bagi tahun 1444H/2023M telah diadakan di Dewan Salma 1, Kompleks Impiana Jaya, Kiulap, hari ini.
Majlis tahunan yang diadakan buat kali ke-8 tersebut bertujuan untuk meraikan seramai 25 orang anak yatim purih Kampung Sungai Kedayan B bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Di samping itu, majlis juga diharap untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan dalam kalangan warga kampung yang mana kesemuanya telah pun menetap di kampung berasingan di seluruh negara.
Majlis yang dihadiri oleh lebih 300 orang warga Kampung Sungai Kedayan B itu turut menyaksikan penyampaian derma kepada anak-anak yatim.



