Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim, Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Kapok telah mengadakan majlis ramah mesra bersama Muslimah, Belia Masjid Kampung Kapok dan AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Bunga di Masjid Kampung Kapok, baru-baru ini.
Antara pengisian majlis ramah mesra tersebut termasuk menunaikan sembahyang Far-du Zuhur berjemaah, membaca Ratib Al-Attas dan seterusnya membaca Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Sebagai tanda kenangan bersama, cenderahati telah disampaikan oleh Penasihat Takmir Masjid Kampung Kapok, Dato Paduka Haji Shofri bin Haji Abdul Ghafor kepada wakil daripada AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Bunga.
Adapun tujuan majlis ramah mesra itu dijalankan adalah untuk mengimarahkan lagi masjid di samping dapat bertukar-tukar pandangan dan pendapat mengenai aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh kedua-dua buah masjid.
