Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Sebagai salah satu cara bagi mengeratkan ikatan tali persaudaraan antara penduduk di bawah Mukim Kilanas, Majlis Perundingan Mukim Kilanas telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bertempat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.
Acara berkenaan turut diselajurkan majlis penyampaian cenderamata kepada mantan penghulu dan ketua kampung yang berada di bawah Mukim Kilanas, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Majlis ramah mesra itu turut diserikan dengan beberapa persembahan nyanyian yang disertai oleh para jemputan sebelum acara diteruskan dengan pengumuman nama bertuah dan menikmati jamuan.
Bagi memberkati majlis, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Bengkurong, Haji Nasrul Hazimin bin Haji Safar.
Pada acara itu, lebih 100 orang jemputan terdiri daripada penduduk kampung di bawah Mukim Kilanas menghadiri majlis berkenaan, yang diharap dapat memberikan peluang dan kesempatan kepada mereka bagi menjalinkan hubungan akrab dan baik antara satu sama lain.

