Sunday, January 5, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ramai ambil kesempatan kontroversi babit Aisyah Hijanah

    Personaliti media sosial, Aisyah Hijanah sedar ramai cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan dan kontroversi dilaluinya sejak kebelakangan ini.

    Malah kata Aisyah atau Aisyah Hijanah Azhari, 27, ada pihak sanggup membuka akaun media sosial menggunakan namanya bagi meraih pengikut dan keuntungan.

    “Saya maklum memang banyak sangat orang guna nama saya sekarang untuk tujuan tidak betul.

    “Nama tengah ‘busuk’ memang lebih banyak tahi daripada bunga orang bagi. Perkara tiada kena mengena pun buat cerita macam-macam,” katanya.

    Aisyah berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instastory miliknya hari ini.

    Tidak hanya itu, rakannya turut memaklumkan sebuah syarikat turut menjual namanya dengan tujuan menyelamatkan diri daripada dipersalahkan.

    “Ada kawan saya beritahu ada auditor yang tak hantar pada klien siap cakap sedang selesaikan audit Aisyah Hijanah.

    “Sedangkan saya tak terlibat dengan syarikat dia. Masa-masa macam ini memang akan banyak orang gunakan nama saya untuk benda buruk,” jelasnya.

    Tenang hadapi dugaan, Aisyah berdoa agar dia sentiasa sabar dan dikurniakan pahala setimpal dengan apa menimpanya.

    “Semoga Allah bagi pahala sabar yang besar kepada saya di dunia serta akhirat dan masuk ke syurga tanpa hisab,” ujarnya.

    Aisyah dan suaminya iaitu Alif Teega sedang berdepan 12 pertuduhan salah guna dana awam berjumlah lebih RM1.6 juta.

    Bagaimanapun kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan itu disebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan 10 yang lain di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – Agensi

    Aisyah tenang hadapi ujian selepas isu kontroversi dakwaan salah guna dana awam. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda