CAPE TOWN, 16 JUN – Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, dipilih semula untuk memegang jawatan itu bagi penggal kedua selepas partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), terbabit dalam pembentukan kerajaan campuran yang julung kali berlaku di negara ini.
Kelmarin, Ahli Parlimen mengundi di Cape Town yang menyaksikan Ramaphosa, 71, dipilih semula menyandang jawatan itu untuk tempoh lima tahun lagi, menerusi 283 undi dalam pengundian rahsia.
“Saya berasa rendah diri dan juga berbesar hati kerana awda sebagai Ahli Dewan Negara, memutuskan untuk memilih saya menjadi Presiden Republik Afrika Selatan,” kata Ramaphosa dalam ucapan selepas pemilihannya itu.
Keputusan pilihan raya umum (PRU) pada 29 Mei lalu menjadi titik perubahan bersejarah bagi Afrika Selatan apabila tidak menghasilkan pemenang mutlak.
Ia sekali gus menyaksikan tamatnya penguasaan tiga dekad pemerintahan parti ANC yang pernah dipimpin oleh mendiang Nelson Mandela.
Parti mengetuai perjuangan anti-aparteid itu hanya memenangi 40 peratus undi dan buat kali pertamanya, kehilangan majoriti mutlak di Parlimen.
Susulan itu, ANC mencapai perjanjian untuk membentuk apa yang dipanggil sebagai kerajaan perpaduan nasional.
Kelmarin, Setiausaha Agung ANC, Fikile Mbalula berkata gabungan besar itu mengumpulkan majoriti daripada 18 parti yang memenangi perwakilan Dewan Negara yang mempunyai 400 kerusi.
Ramaphosa dijadualkan mengangkat sumpah di Pretoria pada minggu depan, sebelum membentuk Kabinet baharu pimpinannya. – AFP