Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rambut hijau sekadar marketing – Hafiz Suip

    Penyanyi Malaysia, Hafiz Suip, mengakui tindakannya mewarnakan rambut seperti karakter Roronoa Zoro dalam drama bersiri popular, One Piece, adalah sekadar gimik yang dicetuskan sebagai strategi pemasaran lagu terbarunya yang berjudul Terus Bersinar.

    Menyedari perbuatannya mewarnakan rambut melanggar hukum agama, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, bagaimanapun lega kerana publisitinya berjaya mencuri perhatian umum.

    “Memang saya hijaukan rambut untuk dapatkan perhatian. Sudah menjadi lumrah media sosial orang lebih suka benda-benda yang sensasi.

    “Saya sendiri mengaku, kalau ikut hukum memang salah, tapi sekarang kita bercakap dalam konteks dunia hiburan.

    “Saya dilahirkan sebagai penghibur inilah cara saya dapatkan publisiti untuk kekal relevan.

    Hafiz perlu libatkan diri dalam pemasaran kerana ingin belajar benda baharu. – Utusan Malaysia

    “Saya akur gimik itu penting. Kita memerlukan sensasi untuk dipandang. Cuma kita kena tahu batas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran lagu Terus Bersinar, kelmarin.

    Juara Akademi Fantasia 7 itu juga merasakan, bergelar penyanyi yang pernah memenangi anugerah bukanlah jaminan untuk kekal popular.

    “Saya tak anggap diri saya mudah. Orang kata saya sudah menang anugerah tidak perlulah buat gimik.

    “Tapi saya perlu libatkan diri juga dalam pemasaran. Saya ingin belajar benda baharu.

    “Sejujurnya saya pernah berada di satu tahap takut berada di tempat tinggi (popular). Sebab kita akan gayat dan jatuh. Bila berada di atas, ujian lebih hebat. Semakin tinggi semakin besar ujian,” jelasnya.

    Hafiz kembali dengan lagu balada terbaharu bertajuk Terus Bersinar hasil ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito. Lagu tersebut menceritakan tentang pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda