TOKYO – Aroma semerbak bau panggang memenuhi ruang dapur panas di Tokyo, tatkala Yuta Shinohara menyediakan air rebusan sup untuk ramen, bukan dari daging atau ayam, tetapi cengkerik.
“Dalam kuali leper ini, kami mempunyai 10,000 ekor cengkerik, menghasilkan air rebusan untuk 100 mangkuk,” jelas Shinohara, sambil mengacau periuk besar.
Mangkuk ramen yang dihasilkan oleh Shinohara dan kumpulan cef kelihatan dan berbau seperti ramen di restoran-restoran di seluruh Jepun: mi putih halus dalam sup menyelerakan, ditambah dengan sehiris daging dan anak rebung jeruk.
Tiada siapa yang tahu Shinohara, 26, menggunakan cengkerik dalam air rebusan itu, minyak, kicap malah mi. Kecuali serangga goreng yang bertenggek di sebelah hiasan daun mitsuba di atas sup.
Shinohara bukan seorang cef profesional, sebaliknya deskripsi atau gambaran yang lebih digemari tentang dirinya adalah ‘lelaki alam’. Dan kesukaan beliau terhadap semua benda berkaitan alam semula jadi yang mendorong beliau memasak makanan berasaskan serangga.




“Saya mahu memperkenalkan keseronokan memakan serangga, supaya serangga akan dihormati sama seperti haiwan dan tumbuhan,” beritahunya kepada AFP.
Minat mendalam Shinohara terhadap serangga bermula sejak dari kecil lagi, apabila beliau menghabiskan sebahagian besar masanya di ladang dan belukar, menangkap belalang dan raing-riang.
Beliau terpukau dengan binatang merayap sehingga beliau merasa mereka akhirnya – tetapi secara rahsia.
“Saya tidak sanggup memberitahu sesiapa bahawa saya suka serangga atau saya memakan serangga sehinggalah saya berusia 20 tahun,” katanya dengan malu. “Saya berasa takut menjadi orang yang pelik atau dibuli disebabkan minat saya.”
Manusia telah memakan serangga selama beberapa ribu tahun dan mereka masih merupakan makanan biasa di kebanyakan negara di Asia, Afrika, Latin Amerika dan Oceania.
Namun bagi kebanyakan orang di negara Barat dan tempat lain, prasangka kebudayaan terhadap serangga sebagai makanan masih lagi kuat.
Pakar alam sekitar dan pertanian telah berusaha untuk memecah sekatan berkenaan, justeru mempromosi serangga sebagai sumber mesra alam yang kaya dengan zat galian dan protein.
Namun sementara Shinohara seorang penyokong yang kuat terhadap pemakanan serangga, beliau tidak suka idea serangga dijadikan makanan ‘paksaan atau jalan terakhir.’
Sebaliknya, beliau melihat mereka sebagai satu hidangan yang harus dinikmati.
Ambil phalera flavescens, sebagai contoh. Beluncas atau ulat bulu kupu-kupu warna putih itu dianggap perosak di Jepun disebabkan kesukaannya terhadap pokok ceri.
Bagaimanapun, Shinohara menganggap ulat bulu sebagai satu makanan istimewa.
“Mereka benar-benar sedap. Rasa mereka seperti gula-gula Jepun,” katanya.
“Ulat bulu hanya memakan daun pokok ceri, maka mereka mempunyai bau berkenaan.”
Beliau juga suka ulat bulu lain, termasuk beberapa jenis yang menurut beliau mempunyai rasa sitrus daripada pokok yang dimakan oleh beluncas berkenaan.
“Di sebalik rasa tersebut, anda boleh bayangkan bagaimana ulat bulu menikmati hidup mereka. Ia sungguh menakjubkan.”
Shinohara dan kumpulan cef telah merancang untuk membuka sebuah restoran masakan serangga bernama Antcicada di pusat bandar Tokyo pada April, tetapi idea tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik koronavirus.
Sebaliknya, mereka telah mencipta satu pek ramen cengkerik yang boleh dimasak di rumah, dan telah menjual 600 set dalam talian pada pertengahan Mei.
“Syukurlah, kelompok terakhir dijual dengan laris dalam masa tiga jam,” kata Shinohara.
Kumpulannya juga sedang membuat eksperimen dengan pelbagai jenis masakan lain termasuk versi hidangan sampingan Jepun berasaskan serangga yang popular digelar tsukudani, biasanya dibuat daripada makanan laut, daging atau rumpai laut direneh dalam kicap.
Ayumu Yamaguchi, pakar penapaian kumpulan cef, sedang menyelia pembangunan masakan itu.
“Kami telah mencuba pelbagai kombinasi perisa berlainan untuk memasak serangga berkenaan,” kata pemuda berusia 24 tahun itu.
“Kami mendapati kacang pistasio dan buah pelaga amat sesuai dengan kokun ulat sutera.”
Kazuhiko Horiguchi, yang memesan pek ramen lengkap dengan cengkerik goreng, memberitahu AFP beliau amat terkejut dengan pengalaman yang dirasai.
“Rasanya sungguh unik, yang amat saya sukai. Saya berasa amat kagum,” katanya.
“Saya fikir ramai orang boleh memakan serangga sebagai makanan sebaik sahaja mereka dimasak dan dihidangkan dalam mangkuk atau bekas, walaupun mereka tidak mahu melihat serangga dalam bentuk asal mereka,” kata beliau.
“Ramen cengkerik boleh menjadi pembuka selera untuk hidangan serangga bagi kebanyakan orang.”
Shinohara mempunyai harapan besar dalam pelbagai produk berasaskan serangga tambahan, termasuk minuman dibuat daripada cengkerik dan teh dibuat daripada tahi ulat sutera.
“Saya melihat potensi besar dalam makanan serangga.” – AFP